Saturday, April 23, 2016

Kaul vs Pesta Kaul: Ritual Adat atau sekadar Pesta Budaya?

1:28 AM

Bapa Kaul is raising the Seraheng. Photo by Persatuan Melanau Mukah

Pada hari ini ingin Learn Melanau kongsikan pendapat seorang pelestari adat melanau, saudara Eduine Kusai, mengenai hala tuju Kaul Serahang Kakan dan Pesta Kaul yang diraikan sebagai acara tahunan di Mukah.

Bacalah dengan teliti dan hati yang terbuka. Learn Melanau berharap agar pembaca dapat menilai erti sebenar dan kehalusan budaya melanau sebagai tanda ketamadunan bangsa yang sudah sekian lama melahirkan generasi bijak pandai zaman berzaman:

Pembuka Kata

Mohon izin admin untuk saya berkongsi : Memandangkan isu kaul begitu hangat di ruangan ini, betapa saya baru menyedari betapa ramainya anak-anak Melanau yang masih begitu mencintai dan menjunjung adat budaya bangsa sendiri.

Warisan berzaman pusaka nenek moyang ini telah kita warisi sejak sekian lama, pernah hampir pupus suatu ketika (mungkin sdr Sapan Puloh) masih ingat apabila intipati adat kaul yang sebenar iaitu Seraheng Kakan dibawa di dalam lori kerana motif penganjuran adalah keramaian, bukan entiti adat seperti yang begitu hebat dan hangat diperkatakan disini.

Hal yang sama berterusan pada tahun-tahun berikutnya sehingga pernah Bapak Kaul (adat) menangis di Kuala Mukah dengan kehadiran hadirin tidak sampai 50 orang.

Mungkin Pn Diana Rose masih ingat "matai pu'un akou mudei neh, kaul telou Melanau kak matai".(bukan Kaul Mukah secara langsung). Tetapi timbul pula persoalan di benak ini, apakah yang cuba kita pertahankan sekarang, adat itukah atau pengisiannya?

Tradisi itukah atau kemeriahannya? Budaya warisan itukah atau persembahan yang berlatarkan budaya semata? Kaul itukah atau pesta? Mungkin komen saya sedikit lari dari isu pokok sekarang, tetapi saya ingin menarik perhatian anak-anak Melanau untuk memahami tentang adat budaya bangsa, tentang apa itu Kaul dari konteks adat (sekiranya fokus hujah kita adalah atas dasar adat) Saya bukan pengkaji, bukan juga pemimpin, tetapi yang saya ingin kongsikan adalah dari konteks atau sudut pandang pelaksana adat.

Intipati kaul yang dilupakan

Seperti yang pernah saya suarakan banyak kali sama ada melalui wadah FB, mahupun secara bersurat kepada pihak-pihak berkaitan atau cadangan-cadangan melalui kertas kerja yang pernah antaranya menjadi resolusi Kaul Mukah, fahami beza antara Kaul dan Pesta, antara ritual dan persembahan.

Jika kita berdebat sekarang tentang adat dan budaya, maka seharusnya kita menyedari bahawa apa yang menjadi intipati kepada "Kaul Mukah" sebenarnya telah berlalu dengan jenama tersendiri dalam paksa kita relakan demi kelestarian apa yang sebenar-benarnya adat iaitu "Kaul Seraheng Kakan" pada 9 April lalu (sama ada kita sedar atau tidak).

Tetapi seandainya kita sekarang membicarakan tentang kemeriahan dan keseronokan, keindahan dan kecantikan, keasyikan dan tarikan, dari aspek pengisian atau paparan dengan berunsur budaya (sekadar unsur), maka sebenarnya yang kita pertahankan itu adalah "pesta". Itu dari sudut pandang saya secara peribadi tetapi asasnya adalah adat dan budaya.

Isu Kaul UiTM

Maka dari situ, saya boleh rumuskan, biarkan UITM dengan pestanya tetapi pengisiannya tidak menjadi suatu kesalahan jika memasukkan simbolik tradisi kaul, jangan "Kaul". Ada implikasi yang perlu dilihat dari konteks itu. Namanya pula boleh dipinda disesuaikan rencana sebenar, contohnya "Pesta Budaya UITM". Tetapi seperti yang saya katakan tadi, pengisiannya mengapa tidak persembahkan pintomin ritual kaul, atau boleh saja digubah satu taridra berkaitannya.

Penggunaan seraheng juga tidak salah, tetapi hanya sekadar "seraheng gap", bukan kakan. Perlu juga diingat, UITM mempunyai kualanya sendiri, "Kuala Petian", maka biarlah Kuala Mukah dengan Pesta Kaul Mukah.

Tiada Kaul tanpa ritual Seraheng Kakan

Tetapi dalam pada itu, saya juga sebenarnya kurang bersetuju dengan jenama Pesta Kaul Mukah, sebaliknya saya berpegang kepada konsep tiada Kaul tanpa ritual Seraheng Kakan. Maka saya pernah mencadangkan supaya pesta itu dijenamakan semula dengan mengugurkan "Kaul" contohnya jadikan sebagai Pesta Mukah, Pesta Budaya Melanau, atau lebih baik tetapkan terus pada 1 Mac bersekali dengan ulang tahun Mukah diisytihar menjadi bahagian.

Standing the Seraheng. Photo by Persatuan Melanau Mukah

Namun yang Kaul sebenar Kaul Mukah dari konteks adat biarlah berterusan dengan amalan sedia ada. Saya bukan pesimis dalam perkara ini, tetapi betapa saya menyedari bahawa sejak sekian lama berada di sebalik Kaul Mukah atau pernah dikenali sebagai Kaul Tugek, dan terkini dipinda buat sekian kalinya bagi menjamin kelestarian budaya sebagai Kaul Seraheng Kakan, elemen yang lebih menjadi tumpuan adalah pengisian pesta, bukan adat seperti yang diperkatakan sekarang.

Asal usul Kaul Kala Mukah

Mestikah kaul itu kita rujuk dan kaitkan dengan pantai, mungkin ya, tetapi sesiapa yang beranggapan sedemikian sebenarnya salah (atau mungkin saya yang salah). Kaul Kuala Mukah pada asalnya adalah Kaul Bateang Pededak (kawasan air berbual seperti air mendidih di hulu Sungai Tellian : sumber lisan dan warisan). Ipuk yang diseru pula adalah "ipuk guun, ipuk kayou, ipuk lie'ak, ipuk liduok, ipuk jakak, ipuk pegak, ipuk tanak".

Bapa Kaul recites prayer. Photo by Persatuan Melanau Mukah
Hanya apabila masyarakat Melanau mula terlibat dan mempunyai hubungan langsung dengan laut, yakni menjadi nelayan, maka sedikit demi sedikit ritual itu bergerak seiring arus mengalir menuju ke kuala dengan kepercayaan kuala sebagai titik atau pusat pertemuan unsur-unsur alam.

Mungkin kita pernah mendengar nama-nama seperti Tua Kapuong Kadir, Tua Kapuong Abun, Tua Kapuong Dawi, kemudiannya diwarisi oleh Tua Kapuong Eward (Penghulu), Tua Kapuong Abdul Hamid, kemudiannya diwarisi oleh Penghulu Brahim Jack, Tua Kapuong Petran, Tua Kapuong Manduri, Tua Kapuong Haji Medahal (pemegang kepimpinan di sepanjang Sungai Tellian), sekadar menyebut beberapa nama utama (ramai lagi AJK yang pada waktu itu dikenali sebagai "kunsil kapuong") mempunyai kuasa pemutus kepada penetapan tarikh Kaul (bukan pesta).

Saya ingin kita memperbetulkan kefahaman bahawa "kaul itu pantai atau kuala" adalah salah sebaliknya mahu agar diterapkan (bagi yang benar-benar berbicara atas adat) "kaul itu seraheng kakan". Sekiranya kita melihat konsep kaul secara meluas, maka tanggapan bahawa "kaul dan pantai berpisah tiada" adalah salah.

Sebagai contoh Kaul Penakub, Kaul Medong, Kaul Klid/Plajau, Kaul Sungai Kut (sekadar membariskan kaul-kaul yang menurunkan Seraheng Kakan) bukanlah lokasinya di tepi pantai.

Kebenaran di sebalik pulang ke kampung demi kaul

"A jauk bak pulek bak kaul". Ini satu lagi perkara yang sering saya persoalkan tetapi bukan mempertikaikan. Adat dagang berbalik pulang, tahniah!! Ternyata anda bukan dari kategori orang yang lupa daratan, lupa warisan, lupa asal. Tetapi apabila "kaul" dijadikan sebagai sandarannya, saya lebih melihat kepulangan itu adalah kerana pesta, bukan kaul.

Tetapi ia bukanlah suatu kesalahan, kesempatan yang seharusnya tidak boleh dipersia-siakan untuk bertemu sanak saudara yang kebetulannya juga pulang ke kampung halaman (alasanya sama "pulek bak kaul").

Tetapi dari sudut yang terperosok jauh nun di pinggir kuala, saya bertanya sendiri

ramai tenawan tapak, bas penok, hotel penok, parking gai lubeang parit un nda agei ji, tapi gaan delouyen itou?" Bisikan halus ipuk menggoncang gegendang telinga dan katanya (kalaulah benar) "abak, gak teang, pegui isak, pegui dageng. 

Nahhhh....dimana yang pulanginnya mau kaul, langsung pesta melulu. Dari itu, perbetulkan kefahaman kita berkenaan dengan kaul dan pesta.

Menkomersialkan Kaul sehingga hilang intipatinya

Pesta penjana ekonomi. Ya, tepat dan benar. Cuma jangan pula dalam keghairahan kita mencari rezeki, mengenepikan adat budaya (dalam konteks kaul), sebaliknya mempersoalkan mengapa tiada kaul, yang sebetulnya mengapa tiada pesta. Kerana apa, kerana tarikan komersialnya.

Lantaran itu, jika pun bakal berlangsung keramaian berskala besar di Mukah (bukan lagi isu kaul di UITM) kemudian daripada ini, maka namanya hendaklah menggugurkan "kaul". Seperti yang saya cadangkan terdahulu, namakan sahaja sebagai Pesta Mukah.

Rasional initpati Kaul dipertahankan

Rasionalnya adalah apabila orang-orang yang mengetahui tentang adat budaya tetapi kurang memahaminya mula berdebat dan berbicara. Mereka langsung rasa terhina (atau mungkin perasaan seumpamanya) kerana merasakan adat budaya nenek moyang mereka dipermainkan, diperlekehkan, diperkecilkan, diperkotak katikkan.

Identiti Melanau yang kuat dalam diri mereka marak bak api membakar lalu perdebatan pun bermula, ke mana teraju kepimpinan, di mana pejuang budaya dan seribu satu persoalan yang sebenarnya jawapan di depan mata tetapi sengaja bertanya.

Bilakah bermulanya Kaul sebenar?

Tetapi "kita" lupa bila kaul yang sebenarnya, kaul yang kita gahkan identiti adat warisan itu berlangsung. Ternyata "kaul" telah dikaburi dan dibayangi oleh PESTA, itu yang menjadi pokok, menjadi isu, PESTA, bukan KAUL.

Kaul bagi pelaksana adat, mungkin juga hanya saya dalam konteks ini, berlangsung sebaik sahaja gong dipalu seawal jam 6 pagi pada pagi hari upacara penghantaran Seraheng Kakan dan tamat pada jam 6 petang dimana tamatnya pantang bagi yang berpantang, dipendekkan daripada 3 hari yang sepatutnya).

Mungkin sdr Sapan Puloh masih ingat dan bersetuju bilamana cadangan agar hak ekslusif Kaul Mukah di wartakan sebagai milik warisan pelaksana Kaul Seraheng Kakan dari Kampung Tellian. Tetapi, Mukah milik Mukahan bukan sekadar Tellianese. Tetapi kita ada rasionalnya, yang "mengaul Kala Mukah" itu dari Tellian (bersama penduduk-penduduk Mukah sudah pasti) tetapi yang memeriahkan pesta itu Penduduk Mukah (warga Tellian tak terkecuali).

Sebagai renungan kita bersama

Kalau saya kongsikan disini mungkin boleh menjadi sebuah buku, isu, persoalan, perdebatan, maruah, air mata, malah kenangan mungkin juga cinta dalam hampir 20 tahun berada di sebalik Kaul (bukan PESTA).

Malah mungkin lebih "berat" daripada isu KAUL@UiTM, malangnya tiada medan seumpama ini untuk kita membicarakankan. Tapi andai isu itu timbul sekarang dan dipaparkan di wall individu atau kumpulan, saya pasti Kaul tidak akan mendapat sokongan seperti yang anak-anak Melanau pertahankan hari ini. Mungkin masih ada yang ingat, sayangnya tiada dokumentasi.

Akhirnya, saya mohon post ini diterima hanya sebagai curahan pandangan, bukan isu perdebatan. Saya mohon maaf andai ada pihak yang terasa, tetapi ini adalah hakikat dari sudut ADAT dan BUDAYA jika ia yang diperkatakan.

Photo by Sapan Puloh

Saya tidak membantah dan tidak juga menyokong kepada Kaul yang dikhabarkan bakal dilaksanakan di UiTM, tetapi seperti yang saya nyatakan, biarlah konsepnya diperhalusi dan diambil berat akan pandangan umum (pandangan berasas yang rasional). Sekiranya apa yang saya nyatakan tidak tepat, mohon maaf juga kerana mungkin ada yang lebih mengetahui, terutama penjelasan dari konteks adat budaya.

Penutup kata, Pencetus bicara

Saya mohon admin memadamkan post saya ini (mengeluarkan dari kumpulan jika dirasakan perlu) seandainya ia menimbulkan isu yang secara langsung membangkitkan pergolakan dalam kalangan anak-anak Melanau khasnya, dan warga Mukah secara keseluruhannya. Saya tidak mahu dan tidak ingin seandainya persoalan adat menjadi punca kepada saling menuding jari, saling mempersalahkan, malah saling berbalah dalam kalangan masyarakat beradat. Saya juga bukanlah pakar budaya, pakar adat, tetapi pandangan saya adalah ikhlas dari sudut adat itu sendiri walaupun mungkin tidak ada yang bersetuju.

Maka dengan itu, dalam kesempatan yang masih jauh direncanakan. Mengambil ruang waktu yang mana ahli-ahli di kumpulan ini ternyata masih punyai perasaan cinta akan adat budaya identiti bangsa Melanau.

Saya menjemput dengan iringan doa dan harapan agar kita panjang umur, sihat walafiat, di bawah nama JKTeKA dan secara peribadi, Yang Berhormat Ahli Parlimen, Yang Berhormat Ahli Dewan Undangan Negeri, Datuk-Datuk/Datin-Datin, Temenggung, Pemanca, Penghulu-Penghulu, Tua Kampung-Tua Kampung, Kapitan-Kapitan, Tuai Rumah-Tuai Rumah, tuan/tuan, puan/puan, hadir untuk sama-sama meraikan Kaul Seraheng Kakan pada tahun 2017 nanti. Tarikh Kaul bagi tahun berkenaan akan ditetapkan sepenuhnya oleh pihak JKTeKA dalam mesyuarat yang akan ditentukan kemudian dan pengisiannya adalah ritual ADAT BUDAYA dan perjamuan kesyukuran.

Jemputan ini adalah berdasarkan kepada prinsip melestarikan warisan adat semata-mata dan tidak melibatkan kepercayaan individu.

Sekian, terima kasih
Eduine Kusai

Written by

Learn Melanau by Nativeglot.com provides insider information about melanau unique cultures and language

5 comments:

  1. Tu u laie nou yen eduine kusai, inget kou masa agei umik lahabei jahak a kaul. Mlo matek a menibah ipok, baih yen baruk keman. Wak kan nda kajih kinan, nda kena nigek pulek. Nebekak gak giyen un. Bah teng gak litong, gi an a pisak sana ji mengalai, pisak tibau jhk pisak wak isak a dana.

    ReplyDelete
  2. Salam sejahtera.. boleh tak bagi website2 atau detail2 tentang alat2, senjata, parang pedang atau sebagainya dr suku melanau. Atau ada tak wujud persatuan2, pihak2 yg terbabit yg masih mengkaji perihal alatan yg sy maksudkan diatas? Terima kasih byk2 atas segala info.

    ReplyDelete
  3. The post is written in very a good manner and it contains many useful information for me. http://pestadomino.com

    ReplyDelete
  4. Great job for publishing such a beneficial web site. Your web log isn’t only useful but it is additionally really creative too. There tend to be not many people who can certainly write not so simple posts that artistically. Continue the nice writing የህንድ የቱሪስት ቪዛ

    ReplyDelete

 

© 2013 Melanau. All rights resevered. Designed by Templateism

Back To Top